Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memerlukan sumber tenaga berkualiti,
prasarana kondusif dan perancangan bersistematik untuk berdepan pelbagai isu di
kalangan ummah termasuk tanggapan negatif atau stigma yang mengaitkan umat
Islam dengan ketidakwarasan dalam bertindak, perpecahan dan murtad. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin
Putra Jamalullail bertitah, bagi mencapai tujuan tersebut, MAIPs perlu melaksanakan
beberapa elemen supaya warga kerjanya memperkasakan lagi organisasi itu.
Antaranya, titah baginda, MAIPs perlu
mempunyai prasarana yang kondusif, maju dan berdaya saing dalam arus perdana,
sesuai dengan ketinggian dan kesucian fungsi majlis tersebut.
"MAIPs juga seharusnya mencari peluang
dan ruang untuk menjana ekonominya serta peka terhadap kehendak kakitangan,
pelanggan dan stake holders," titah baginda pada Multaqa Pegawai dan
Kakitangan Agensi-Agensi di Bawah MAIPs di Ocean Glow Putra Brasmana, Kuala
Perlis, pada malam 2 April 2012. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis,
Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir pengerusi Jawatankuasa
Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi
Othman dan Setiausaha MAIPs, Abdul Malik Husin.
Selain itu, baginda selaku Yang Dipertua
MAIPs bertitah, majlis berkenaan semestinya merencana dan memantapkan latihan
serta peningkatan ilmu dan kemahiran warganya. "Tumpuan lain ialah mengutamakan
keperluan golongan sasar dan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan
sentiasa mengemaskini laman sesawang MAIPs. "Begitu juga dengan penganjuran
program berpendidikan seperti Hijrah Minda yang membentuk modal insan berusaha,
meminimumkan budaya negatif, sikap berpeluk tubuh, berdiam diri dan menyerah
kepada takdir," saran baginda.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, tidak kurang
pentingnya ialah usaha mengeratkan kerjasama dan meningkatkan rasa kekitaan
sesama kakitangan MAIPs ke arah mewujudkan pasukan kerja yang unggul melalui
program tanggungjawab sosial (CSR), aktiviti sukan dan hari keluarga. "Di samping itu, berusahalah untuk
memartabatkan imej MAIPs melalui aktiviti dan program yang mencakupi setiap
golongan dan lapisan masyarakat, sekali gus mengelak sebarang persepsi negatif
terhadapnya (MAIPs)," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menyarankan warga
kerja MAIPs supaya memainkan peranan masing-masing memperkasakan MAIPs melalui:
* Hubungan yang kukuh dengan Al-Khaliq
iaitu Hablum minallah.
* Bersikap telus, ikhlas dan peka terhadap
isu semasa.
* Mempunyai sikap tahan diuji dalam
menghadapi setiap masalah.
* Mempunyai sikap berhati-hati dan teliti
dalam tindakan atau meticulous.
* Sentiasa berinovatif dan kreatif.
* Memelihara kerahsiaan dan perkara sulit
organisasi,
* Melakukan sesuatu dengan pantas dan
tepat, dan;
* Mempamerkan budaya kerja unggul dan
terbilang serta menonjolkan imej dan citra diri.
No comments:
Post a Comment