Thursday 3 May 2012

UniMAP Jalin Kerjasama Dengan OCIS Dalam Bidang Penyelidikan dan Akademik


Daripada Adnan Jahaya

LONDON, 28 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menjalinkan kerjasama penyelidikan dan akademik dengan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), sebuah institusi bersekutu Universiti Oxford.


Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu berlangsung di Universiti Oxford dekat sini malam tadi dengan UniMAP diwakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Kamarudin Husin manakala OCIS oleh pengarahnya Dr Farhan Nizami.


Mou tersebut merupakan kedua membabitkan kerjasama UniMAP dengan universiti di England dalam tempoh dua hari selepas Universiti Cambridge.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang menyaksikan menyaksikan majlis menandatangani MoU itu, berharap kedua-dua universiti itu akan memperolehi manfaat besar melalui kerjasama itu.


Antara lain perjanjian itu membolehkan kedua-dua universiti itu meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan akademik serta berkongsi maklumat dan dokumentasi.


Di samping itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan program pertukaran petugas serta penerbitan selama lima tahun.


Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Canselor UniMAP, berharap kerjasama itu akan membantu kedua-dua pihak memberi sumbangan ke arah pembangunan dan kemajuan umat Islam sejagat.


Semasa bertitah pada majlis itu, baginda juga berharap kedua-dua pihak dapat meninjau potensi dan kewajaran bagi mengkomersilkan produk Islam ke peringkat global.


Baginda berkata perjanjian itu akan turut mempromosikan teknologi dan inovasi umat Islam di samping meletakan UniMAP, OCIS dan kerajaan negeri Perlis sebagai juara penjanaan bakat dan ketamadunan Islam.


Sumber -- BERNAMA

Sunday 22 April 2012

Perkasakan MAIPs untuk Berdepan Pelbagai Isu


Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memerlukan sumber tenaga berkualiti, prasarana kondusif dan perancangan bersistematik untuk berdepan pelbagai isu di kalangan ummah termasuk tanggapan negatif atau stigma yang mengaitkan umat Islam dengan ketidakwarasan dalam bertindak, perpecahan dan murtad. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi mencapai tujuan tersebut, MAIPs perlu melaksanakan beberapa elemen supaya warga kerjanya memperkasakan lagi organisasi itu. 
   Antaranya, titah baginda, MAIPs perlu mempunyai prasarana yang kondusif, maju dan berdaya saing dalam arus perdana, sesuai dengan ketinggian dan kesucian fungsi majlis tersebut.
    "MAIPs juga seharusnya mencari peluang dan ruang untuk menjana ekonominya serta peka terhadap kehendak kakitangan, pelanggan dan stake holders," titah baginda pada Multaqa Pegawai dan Kakitangan Agensi-Agensi di Bawah MAIPs di Ocean Glow Putra Brasmana, Kuala Perlis, pada malam 2 April 2012. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman dan Setiausaha MAIPs, Abdul Malik Husin.
   Selain itu, baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, majlis berkenaan semestinya merencana dan memantapkan latihan serta peningkatan ilmu dan kemahiran warganya. "Tumpuan lain ialah mengutamakan keperluan golongan sasar dan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan sentiasa mengemaskini laman sesawang MAIPs. "Begitu juga dengan penganjuran program berpendidikan seperti Hijrah Minda yang membentuk modal insan berusaha, meminimumkan budaya negatif, sikap berpeluk tubuh, berdiam diri dan menyerah kepada takdir," saran baginda.
   Menurut Tuanku Syed Faizuddin, tidak kurang pentingnya ialah usaha mengeratkan kerjasama dan meningkatkan rasa kekitaan sesama kakitangan MAIPs ke arah mewujudkan pasukan kerja yang unggul melalui program tanggungjawab sosial (CSR), aktiviti sukan dan hari keluarga. "Di samping itu, berusahalah untuk memartabatkan imej MAIPs melalui aktiviti dan program yang mencakupi setiap golongan dan lapisan masyarakat, sekali gus mengelak sebarang persepsi negatif terhadapnya (MAIPs)," titah baginda.
   Dalam pada itu, baginda menyarankan warga kerja MAIPs supaya memainkan peranan masing-masing memperkasakan MAIPs melalui:

* Hubungan yang kukuh dengan Al-Khaliq iaitu Hablum minallah.

* Bersikap telus, ikhlas dan peka terhadap isu semasa.

* Mempunyai sikap tahan diuji dalam menghadapi setiap masalah.

* Mempunyai sikap berhati-hati dan teliti dalam tindakan atau meticulous.

* Sentiasa berinovatif dan kreatif.

* Memelihara kerahsiaan dan perkara sulit organisasi,

* Melakukan sesuatu dengan pantas dan tepat, dan;

* Mempamerkan budaya kerja unggul dan terbilang serta menonjolkan imej dan citra diri.

Rahsia Terbongkar Akibat Terperangkap Dalam Kejadian Letupan Bom


Kejadian di Hatyai, Songkhla, empat kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Perlis cuba merahsiakan pemergian mereka ke negara jiran, terbongkar apabila seorang daripada mereka gagal pulang kerana kereta dinaiki terperangkap di kawasan letupan bom.
Lebih malang, pasport milik pemilik kenderaan itu tertinggal dalam kereta yang diletak di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza. Difahamkan, mereka termasuk seorang wanita berada di Hatyai sejak awal pagi dua hari sebelum kejadian letupan bom, tinggal di hotel berasingan, dihalang mengambil kereta yang diletak di kawasan Hotel Lee Garden Plaza selepas letupan bom itu.